Impian Nan Indah Si Itik Cute










myspace








Quack! Quack! Quack
   

<< December 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed
Jan 1, 2008
SaLaM tAhUn BaRu 2008

Assalamualaikum kawan-kawan semua. Pertamanya izzul memohon beribu-ribu maaf kerana sudah lama tidak meng update blog itik kesayangan izzul ini. Kesibukan izzul sekarang benar-benar menghadkan masa yang izzul ada untuk menyiapkan kisah itik yang tidak seberapa ini. Bagaimanapun izzul ingin mengucap berbanyak-banyak terima kasih atas kesudiaan kawan-kawan menunggu dan menanti kesudahan kisah ini. Insya-Allah jika tidak ada apa halangan kisah itik ini akan ke versi cetak. Sokongan dan komen yang membina daripada kawan-kawan semua amat izzul harapkan agar izzul dapat memperbaiki lagi karya izzul yang masih banyak kelemahan.

Akhirkata izzul ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2008. Semoga azam yang kawan-kawan semua tanamkan dapat dicapai nanti. Insya-Allah.

Salam sayang

Izzulizzati

 

 


Posted at 08:40 pm by izfa
Make a comment  

Sep 2, 2007
SaMbungan BIB

Tatkala kedengaran bunyi tapak kasut Cikgu Kamil mencecah ke lantai kelas, Rosnita dan Atikah tidak tunggu lebih lama. Kedua-duanya berdecit-decit lari menuju ke tempat duduk masing-masing. Kelas yang bising bagai pasar malam terus sunyi sepi bak diserang gempa bumi. Suasana automatik menjadi aman-seamanya. Tenang-setenangnya.

"Selamat pagi cikgu!" Bergema suara penghuni kelas Salina memberi ucapan untuk Cikgu Kamil. Salina turut sama berdiri, turut sama memberi ucapan tetapi jari-jemari lembutnya tetap ligat menulis jawapan pada soalan latihan. Biarpun angka-angka dan huruf kelihatan lebih dari cakar ayam. Dia tidak peduli. Janji siap! 

 

"Hmmm….Selamat Pagi, duduk semua." Cikgu Kamil memberi arahan. Peralatan mengajar diletakkan di atas meja sambil matanya melilau melihat pelajar-pelajar kelas tahun Empat Sains A di hadapannya. Anak matanya kaku pada arah tempat duduk Salina, yang masih lagi berdiri biarpun teman-teman sekelas yang lain sudah lama duduk di kerusi masing-masing. Gerak-geri tangan Salina yang bertungkus lumus menari-nari di atas buku latihan mengodanya untuk menghampiri.

 

"Pergh….lega!" Salina tersenyum meleret, seronok dapat menyiapkan homework Cikgu Kamil dengan jayanya. Ingin sahaja dia berjoget kegembiraan.

 

"Ehmmm….sibuk nampak?"

 

"Opocot mak kau! Eh, Cikgu!" Suara garau Cikgu Kamil membuatkan Salina terkejut beruk. Sengihan yang melebar terus lumpuh tatkala terpandang janggut sejemput Cikgu Kamil. Apa lagi, kedengaranlah gelak-tawa kecil-kecilan yang ditahan-tahan oleh teman-teman sekelas. Aduhai, Mak! Malunya! Mahu sahaja Salina menyorok mukanya dalam meja tulis.

 

"Kamu buat apa, Salina?"

 

Soalan cepu emas Cikgu Kamil membuatkan Salina rasa macam tercekik kulit durian.

 

"Tak…takde….cik….cikgu," terkulat-kulat Salina menjawab. Sempat anak matanya menjeling pada Aizam yang sedang menekup mulut menahan gelak. Tidak ketinggalan kedua-dua teman baiknya, Atikah dan Rosnita. Ceh! Sukalah tu! Eeeiiii…menyampahnya aku!

 

Bagi Cikgu tengok buku latihan kamu?"

Erk! Permintaan Cikgu Kamil membuatkan Salina menelan air liur kelat. Nak tak nak. Mahu tak mahu. Dia tiada pilihan. Dia terpaksa akur. Aduh! Kantoi! Terketar-ketar tangannya tatkala buku latihan dihulurkan kepada Cikgu Kamil. Harap-harap semuanya betul! Amin! Doa Salina dalam hati.

 

Dia percaya dengan membekalkan jawapan yang betul sahaja boleh menyelamatkan dia daripada kena denda. Dengan tepat lagi kena rotan. Cikgu Kamil memang terkenal dengan 'rotan'nya yang sentiasa diusung ke hulu, ke hilir. Memang cocok dan sesuai sekali dengan jawatan dipegangnya sebagai 'Guru displin.'   

 

Cikgu Kamil menyambut buku latihan yang diberikan oleh Salina. Wajah Salina yang macam itik tidak jumpa air dipandang sejenak sebelum anak matanya terpaku menatap setiap angka jawapan yang tercoret di bahagian bawah setiap soalan.     

 

"Hmm," Wajah Salina dipandang lagi menerusi cermin mata berbingkai tebal.

Salina tidak berani mengangkat wajah. Apatah lagi menjeling daripada ekor mata. Bimbang anak mata galaknya bersambung pandang dengan renungan tajam Cikgu Kamil. Rotan di tangan Cikgu Kamil terasa begitu mengerunkan.

 

"Hmm…okey, bagus! Semuanya betul," Cikgu Kamil terangguk-angguk.

Automatik! Tidak mampu ditahan-tahan lagi, tersungging senyuman manis bagai tertumpah gula daripada bibir Salina mendengar. Kepala yang sedang menunduk mengadap lantai lepaan simen serta-merta terangkat. Wajah Cikgu Kamil sudah berani ditentang. Malah hatinya turut kembang setaman dengan pujian yang diberikan biarpun sebaris ayat cuma. Itu sudah cukup untuk ditayangkan kepada Aizam dan Saiful yang nampak tercenggang. Langsung kehilangan suara. Kelu! Bisu! Mahu sahaja diangkat keningnya ala-ala Ziana Zain kepada kedua-dua rakan baiknya, Atikah dan Rosnita yang kelihatan melopong. Terkejut! Hah, baru mereka tahu, siapa 'Salina Shamsuddin'. Hati Salina berkata bangga.

 

"Tapi kenapa kamu baru buat? Kat rumah semalam kamu buat apa?"

Soalan Cikgu Kamil semerta mengecutkan senyuman Salina yang sedang melebar. Terus kuncup seperti payung terlipat tatkala terpandang jelingan tajam ekor mata Cikgu Kamil di sebalik kaca mata berbingkai tebal.

 

"Saya….saya tak datang sekolah semalam, cikgu. Saya demam mengejut," tergagap Salina menjawab.

 

"Demam mengejut?" Bulat mata Cikgu Kamil. Gelak ketawa yang ditahan-tahan oleh kawan-kawan yang lain sudah mula kedengaran menghiasi kelas.

 

"Eh, silap cakap, cikgu. Err.... maksud saya tiba-tiba saja saya demam," Salina membetulkan ayatnya. Mahu sahaja ditampar mulutnya yang tersalah cakap.

               

   "Hmm…ingatkan orang mati aje mengejut, demam pun ada juga." Tersungging senyum sinis daripada bibir Cikgu Kamil. "Kenapa kamu demam mengejut? Apa yang telah mengejutkan kamu? Atau kamu terjumpa hantu pocong?"

   

             Soalan bertubi-tubi yang di utarakan oleh Cikgu membuatkan teman-teman sekelas Salina tidak mampu menahan gelak lagi. Pecah juga gelak ketawa kelucuan mendengar.

 

"Err…bukan cikgu," tergagap Salina menafikan. Wajahnya bertukar kelat melihatkan kawan-kawan galak ketawa.

 

"Betul ke kamu demam, Salina?" soal Cikgu Kamil lagi

               

                  Laju Salina mengangguk.

               

                "Mana surat doktor?"

               

               Alamak! Salina menelan air liur kelat. Aduhai! Mana ada dia pergi ke klinik untuk mengambil surat doktor. Dia hanya telan penaldol berpapan-papan. Itu pun nasib baik tidak terlebih dos kerana hendak cepat baik.

               

                "Tak… tak ada, cikgu." Kepala lutut Salina terasa mengigil. Ketakutan. Sementelah lagi rotan di tangan Cikgu Kamil sudah tersadai di atas mejanya.

               

                "Walaupun kamu betul-betul demam tapi tanpa surat sakit daripada doktor atau ibubapa kamu. Kamu tetap dikira ponteng sekolah," tegas Cikgu Kamil panjang lebar.

               

                Kepala Salina terus menunduk. Malu dan takut tidak terkata lagi. Wajah kawan-kawan tidak berani langsung dipandang. Habislah aku kali ini! Kecut perut Salina tatkala memikirkan yang dia tergolong dalam kategori pelajar-pelajar yang ponteng sekolah.

               

                "Tunggu apa lagi. Angkat tangan kamu!" Cikgu Kamil memberi arahan.

               

                   "Hah?" Salina menelan air liur berkali-kali. Nak kena rotan juga ke? Sempat Salina bersoal jawab sendiri. Perlahan-lahan tangan kirinya diangkat. Cikgu Kamil mengangkat rotannya tinggi. Fatimah memejamkan kelopak matanya rapat-rapatnya.

               

               "Aduh!" Salina menjerit sakit.

                  

                "Hai, belum lagi kena rotan, kamu dah mengadu sakit."

               

                "Hah?" Salina membuka mata. Dia terkulat-kulat sendiri dengan teguran Cikgu Kamil. Kedengaran ketawa yang ditahan-tahan oleh kawan-kawan sekelas. Takut hendak ketawa kuat-kuat. Bimbang mereka turut sama kena rotan. Kalau diikutkan hati masing-masing sudah lama gelak tawa besar terburai dengan gelagat yang ditunjukkan Salina.

               

                Tok!Tok! "Assalamualaikum, cikgu."

            

                Spontan Cikgu Kamil termasuk Salina dan kawan-kawan menoleh ke arah muka pintu kelas ketika terdengar seseorang mengetuk daun pintu dan memberi salam.

               

                Alamak! Kantoi lagi aku! Automatik Salina menolehkan wajahnya ke arah lain. Setiap kali dia ada masalah displin, setiap kali itulah 'Mamat' pujaannya hadirkan dan menjelmakan diri. Macam tahu-tahu. Mana dia hendak letak mukanya yang cantik menawan ini? Salina mengomel sendiri. Tidak berani dia mengangkat muka. Dia pasti 'Mamat' sedang memandang ke arahnya. Kebetulan dia berada di sisi Cikgu Kamil.

               

                "Ia Mohamed! Ada apa?" Cikgu Kamil bertanya.

               

                   "Begini cikgu, saya wakil dari pasukan Hijau ingin bertanya kepada ahli pasukan yang berminat untuk menyertai acara lompat tinggi," jawab Mohamed lancar dan sopan.

               

               "Hmmm….ada siapa-siapa ahli pasukan hijau yang berminat tak?" soal Cikgu Kamil sambil memandang ke wajah pelajar-pelajar Empat Sains di hadapanya.

 

  Salina diam tidak berkutik. Wajah terus ditundukkan. Sempat hatinya berdoa agar 'Mamat' pujaannya itu tidak mengenali dirinya. Tapi macamlah 'Mamat' tu buta. Tidak nampak atau tidak faham kenapa dia sedang berdiri bagai seorang pesalah yang sedang menunggu hukuman. Aduh! Malu! Malu! Kalau orang lain dia masih boleh buat muka 'tembok' tapi bukan dengan 'Mamat yang telah mencuit hati remajanya itu.

               

               "Salina pasukan apa?"

               

                Salina kaget seketika dengan pertanyaan yang tidak disangka-sangka keluar daripada bibir Cikgu Kamil.

               

                "Err…Hijau, cikgu," jawab Salina tersekat-sekat. Dia masih menunduk. Malu hendak bertentang mata dengan insan bernama 'Mamat'.

               

                "Hah! Elok sangat tu." Cikgu Kamil tersenyum senang. "Kamu boleh lompat tinggi, Salina?" soal Cikgu Kamil lagi.

               

                "Err…" Salina terkulat-kulat sendiri hendak menjawab.

 

   "Okey, Mohamed kamu letak nama Salina dalam senarai pemain."

               

               Hah! Bulat mata Salina mendengar. Spontan wajahnya terangkat. Wajah 'Mamat' yang sedang menulis namanya dipandang terkebil-kebil. Biar betul Cikgu Kamil ni! Nama aku dimasukkan dalam acara lompat tinggi! Oh, Tidak! Terasa mahu membantah namun suaranya bagai hilang daripada anak tekak. Apatah lagi berhadapan dengan 'Mamat' ketika itu. Kiranya dengan orang lain dia pasti, dia akan lantang bersuara menolak cadangan Cikgu Kamil yang seperti mengenakan dirinya. Bukan setakat mengena tapi mendera dirinya. Mampukan dia melompat palang besi? Lompat tali getah urat, bolehlah! Aduh! Tidak dapat dibayangkan keadaannya ketika itu.

               

                "Ada apa-apa lagi, Mohamed?" soal Cikgu Kamil tatkala Mohamed selesai mengisi nama Salina di atas kertas senarai yang dibawanya.

               

                "Tak ada apa-apa lagi. Terima kasih, Cikgu," ucap Mohamed. Sempat dia tersenyum sinis kepada Salina yang masih melopong memandang wajahnya.

               

             'Eii…bencinya!' jerit hati Salina melihat.


Posted at 11:50 pm by izfa
Comments (5)  

Jul 11, 2007
KaD JeMpUtAn

 

p/s Kepada kawan-kawan yang telah mendaftar, izzul ingin memohon maaf kerana tidak dapat mengedar kad jemputan seperti mana yang telah dijanjikan. Sad Bagaimanapun izzul berharap kawan-kawan yang telah mendaftar tidak lupa untuk dapatkan kad jemputan di meja pendaftaran nanti. Kita jumpa di sana ya! Insya-Allah.

salam sayang

izzul izzati 


Posted at 11:46 am by izfa
Make a comment  

Jun 12, 2007
CoVeR PeNuH

 

Dalam desiran rindu yang terpendam, ada seru membisikkan......Kaulah kekasih hingga ke akhirnya.

 

            Dari mana datangnya kasih? Dari mata turun ke hati. Dalam diam cinta itu hadir. Tanpa sedar rasa rindu berbunga jua akhirnya.

Memiliki kasih Hakimi dari alam kampus hanyalah mimpi indah Afrina semata-mata. Menjadi milik Hakimi apatah lagi. Impian semakin jauh, lantaran jejaka idaman turut menjadi rebutan dua orang sahabat baiknya sendiri. Dia sedia mengalah, memberikan laluan dan ruang biarpun hati sendiri sakit memendam rasa kecewa. Bertambah menjerut rasa tatkala Hakimi menyambut baik cinta salah seorang daripada mereka.

Namun sejauh mana kasih yang bersemi dapat dihindari, biarpun dia cuba untuk menjauhi. Sedangkan wajah Hakimi sentiasa hadir di ruang mata.

Dugaan hadir tanpa dipinta, langsung tidak terlintas di fikiran. Musibah datang jua menimpa antara dia dan Hakimi. Suratan ataupun kebetulan? Sukar untuk ditafsirkan. Tetapi apa yang pasti, ada rahsia yang perlu diselindungkan. Ada cerita yang harus disembunyikan dan disimpan kemas daripada pengetahuan umum terutama kawan-kawannya. Kesulitan yang menjelma itu turut membuat Afrina tersepit antara diri, maruah keluarga dan sahabat baik sendiri. Hati siapakah yang perlu diutamakan? Hati siapa pula yang perlu dijaga?

 

 Kasihnya kepada Hakimi tidak boleh dibiarkan sepi? Cabaran Afrina, kasih Hakimi harus dimiliki dengan apa jua cara sekalipun. Namun relakah dia dikatakan sebagai “muka tembok” demi menyeru secebis kasih? Persoalannya….mampukah Afrina menyeru kasih Hakimi? Sedangkan cinta Hakimi tetap teguh kepada kekasih hati.

 

Harap maaf, ada perubahan pada blurp novel KUSERU KASIHMU

 


Posted at 02:59 pm by izfa
Comments (2)  

Jun 1, 2007
NoVeL tErBaRu iZzUl iZzAtI

Alhamdulillah, novel terbaru izzul bakal berada di pasaran pertengahan bulan Jun nanti. Insya-Allah

 


Posted at 03:22 pm by izfa
Make a comment  

May 11, 2007
Bab 7

 

 

 

"Bagi cikgu tengok buku latihan kamu, tu?"

 

Erk! Permintaan Cikgu Kamil membuatkan Fatimah menelan air liur pahit. Nak tak nak. Mahu tak mahu. Dia terpaksa akur. Aduh! Kantoi! Terketar-ketar tangannya tatkala buku latihan dihulurkan kepada Cikgu Kamil. Harap-harap semuanya betul! Amin! Doa Fatimah dalam hati.

 

Cikgu Kamil menyambut buku latihan yang diberikan oleh Fatimah. Wajah Fatimah yang macam itik tak jumpa air dipandang sejenak sebelum anak matanya terpaku menatap setiap angka jawapan yang tercoret di bahagian bawah setiap soalan.     

 

"Hmm," Wajah Fatimah dipandang lagi menerusi cermin mata berbingkai tebal.

 

Fatimah tidak berani mengangkat wajah. Apatah lagi menjeling dari ekor mata. Bimbang anak mata galaknya bersambung pandang dengan renungan tajam Cikgu Kamil. Sementelah dia terkesan sebatang rotan yang sentiasa setia di tangan Cikgu Kamil. Eii...mengerunkan!

 

"Hmm….okey, bagus! Semuanya betul," Cikgu Kamil terangguk-angguk.

 

Automatik! Tidak mampu ditahan-tahan lagi, tersungging senyuman manis bagai tertumpah gula madu di bibir Fatimah mendengar. Kepala yang sedang menunduk mengadap lantai simen serta-merta terangkat. Wajah Cikgu Kamil sudah berani ditentang. Malah hatinya turut kembang setaman dengan pujian yang diberikan biarpun sebaris ayat cuma. Itu sudah cukup untuk ditayangkan kepada Ismail dan Samad yang nampak tercenggang. Langsung kehilangan suara. Kelu! Bisu! Mahu sahaja diangkat keningnya ala-ala Ziana Zain kepada kedua-dua rakan baiknya, Zainab dan Salmah yang kelihatan melopong. Terkejut! Hah, baru mereka tahu, siapa 'Fatimah Selamat'. Hati Fatimah berkata bangga.

 

"Tapi kenapa kamu baru buat? Kat rumah semalam kamu buat apa?"

 

Soalan Cikgu Kamil mengecutkan senyuman Fatimah yang sedang melebar. Terus mati tatkala terpandang jelingan tajam ekor mata Cikgu Kamil di sebalik kaca mata berbingkai tebal.

 

"Saya….saya tak datang sekolah semalam, cikgu. Saya demam mengejut," tergagap Fatimah menjawab.

 

"Demam mengejut?" Bulat mata Cikgu Kamil. Gelak-ketawa yang ditahan-tahan oleh kawan-kawan yang lain, sudah mula kedengaran menghiasi kelas.

 

"Opss, silap cakap, cikgu. Err.... maksud saya tiba-tiba saja saya demam," Fatimah membetulkan ayatnya. Mahu sahaja ditampar mulutnya yang tersalah cakap.

           

"Hmm…ingatkan orang mati aje mengejut, demam pun ada juga." Cikgu Kaml senyum sinis. "Betul ke kamu demam, Timah?" soal Cikgu Kamil lagi

           

Laju Fatimah mengangguk. Mengiyakan.

 

"Mana surat doktor?"

           

Alamak! Fatimah menelan air liur kelat. Aduhai! Mana dia pergi ke klinik untuk ambil surat doktor. Dia hanya telan penaldol berpapan-papan. Itu pun nasib baik tak terlebih dos kerana nak cepat baik.

 

            "Tak… tak ada, cikgu," kepala lutut Fatimah terasa mengigil. Ketakutan. Sementelah lagi rotan di tangan Cikgu Kamil sudah tersadai di atas mejanya.

 

"Walaupun kamu betul-betul demam tapi tanpa surat sakit daripada doktor atau ibubapa kamu. Kamu tetap dikira ponteng sekolah," tegas Cikgu Kamil menjelaskan.

 

Kepala Fatimah kembali menunduk. Malu dan takut tak terkata lagi. Wajah kawan-kawan, tak berani langsung dipandang. Aduh! Habislah aku kali ni! Kecut perut Fatimah tatkala memikirkan yang dia tergolong dalam kategori budak-budak yang ponteng sekolah.

 

            "Angkat tapak tangan kamu!" Cikgu Kamil memberi arahan.

 

           "Hah?" Fatimah menelan air berkali-kali. Nak kena rotan juga ke? Aduh! Belum pun dirotan, hati Fatimah sudah beraduh. Perlahan-lahan tapak tangan kirinya diangkat.

   

            "Assalamualaikum, cikgu."

 

            Cikgu Kamil termasuk Fatimah dan kawan-kawan spontan menoleh ke arah muka pintu kelas tatkala terdengar suara seseorang memberi salam.

 

            Aduh! Kantoi lagi aku! Fatimah bungkam dan kaku melihat orang di hadapan pintu. 

 

 

 

     


Posted at 01:43 pm by izfa
Comments (2)  

May 7, 2007
N3.....2007

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah, akhirnya izzul berjaya juga menyiapkan novel terbaru izzul yang ke - 2. Manuskrip izzul telah diserahkan kepada pihak penerbit dan sedang diedit. Insya-Allah awal Jun nanti akan berada di pasaran. 

 

Jadi dengan itu juga, izzul dapatlah memberi sedikit ruang kepada kisah itik yang dah tak biasanya ini...hehehe. Kisah itik ini akan diteruskan dan disambung tetapi izzul ingin membuat sedikit rombakkan kepada jalan cerita dan nama-nama para pelakunnya.. Tongue Heroin cerita ini juga akan bertukar. Fatimah akan ditukarkan menjadi Salina...begitulah juga nama yang lain. Harap-harap tak menjadi masalah kepada kawan-kawan semua. Big Smile

Insya-Allah kiranya tak ada apa-apa rintangan, izzul kan postkan satu N3 untuk tatapan kawan-kawan semua selewat-lewatnya hujung minggu ini. Selamat Membaca n jangan lupa tinggalkan komen yang membina. Izzul masih memerlukan kawan-kawan untuk membaiki karya izzul masih banyak kekurangan. Terima kasih semua. MMuah!

Salam sayang,

Izzul


Posted at 05:09 pm by izfa
Make a comment  

Aug 16, 2006
Bab 6

Bab 6

 

Tatkala tapak kasut Cikgu Kamil mencecah ke lantai kelas, Salmah dan Zainab tidak tunggu lama. Kedua-duanya berdecit-decit lari menuju ke tempat duduk masing-masing. Kelas yang bising lebih dari pasar malam terus sunyi sepi bak diserang gempa bumi. Suasana automatik menjadi aman-seamanya.

 

"Selamat pagi cikgu!"

 

Bergema suara penghuni kelas Fatimah memberi ucapan untuk Cikgu Kamil. Fatimah turut sama berdiri, turut sama memberi ucapan tetapi jari-jemari lembutnya tetap ligat menulis jawapan pada soalan latihan. Biarpun angka-angka dan huruf kelihatan lebih dari cakar ayam. Dia tidak peduli. Janji siap! 

 

"Hmmm….Selamat Pagi, duduk semua."

 

Cikgu Kamil memberi arahan. Peralatan mengajar diletakkan di atas meja sambil matanya melilau melihat pelajar-pelajar kelas tahun 4 Sains di hadapannya. Anak matanya kaku pada arah tempat duduk Fatimah, yang masih lagi berdiri biarpun teman-teman sekelas yang lain sudah lama duduk di kerusi masing-masing. Gerak-geri tangan Fatimah yang bertungkus lumus menari-nari di atas buku latihan mengodanya untuk menghampiri.

 

"Pergh….lega!"

 Fatimah tersenyum meleret, seronok dapat menyiapkan homework Cikgu Kamil dengan jayanya. Ingin sahaja dia berjoget kegembiraan.

 

"Ehmmm….sibuk nampak?"

 

"Opocot mak kau! Eh, Cikgu!"

 Suara garau Cikgu Kamil membuatkan Fatimah terkejut beruk. Sengihan yang melebar terus lumpuh tatkala terpandang janggut sejemput Cikgu Kamil. Apa lagi, kedengaranlah gelak-tawa kecil-kecilan yang ditahan-tahan oleh teman-teman sekelas Fatimah. Aduhai, Mak! Malunya! Mahu sahaja Fatimah menyorok mukanya dalam meja tulis.

 

"Kamu buat apa, Timah?"

 

Soalan cepu emas Cikgu Kamil membuatkan Fatimah rasa macam tercekik kulit durian.

 

"Tak…takde….cik….cikgu," terkulat-kulat Fatimah menjawab. Sempat anak matanya menjeling pada Ismail yang sedang menekup mulut menahan gelak. Ceh! Sukalah tu! Eeeiiii…menyampahnya aku!

 

bersambung

 

p/s Izzul ingin memohon maaf kepada pengunjung-pengunjung blog BIB ni kerana ternanti-nanti smbungan cerita. Izzul sedang kemaskini balik cerita ni agar lebih kemas. Terima kasih krn sudi menantap cerita yang tak seumpamanya ini. Izzul amat hargai. TQVM. Salam sayang dr izzul.


Posted at 10:32 am by izfa
Comments (8)  

Jun 28, 2006
Bab 5

Fatimah menghayun batang kaki lambat-lambat menuju ke pintu pagar sekolah. Kesan demam masih terasa di setiap saiz urat sendi biarpun semalam, sudah seharian dia berehat di rumah. Ini semua gara-gara tertelan berliter-liter air parit sewaktu terjatuh petang sebelumnya. Entah banyak mana kuman dan virus yang telah masuk ke dalam perut dan ususnya. Mungkin berjuta-juta? Agak-agaknya lebih berbilion-bilion, sempat Fatimah membuat anggaran. Jam dipergelangan tangan dijeling sekilas. Masih ada lima minit sebelum loceng berbunyi. Namun langkah kaki dihayun lemah gemalai, setapak-setapak. Perasaan malas hendak ke sekolah ternyata menguasai dirinya.

 

Tatkala kaki sudah hampir ke pintu pagar sekolah, wajah pengawas yang bernama Salleh tajam merenung ke arahnya. Buku nota kecil dan pen dipoket segera dicapai. Lagak mengalahkan polis hendak menyaman persalah.

 

 Loceng sekolah tiba-tiba nyaring berbunyi menyentak dan memberi amaran kepada seluruh penghuni sekolah bahawa waktu persekolahan sudah bermula. Fatimah turut terperanjat lalu melompat melewati pagar sekolah dan kemudian lalu di hadapan Salleh dengan selamba tanpa memandang. Fuh! Selamat! Fatimah menarik nafas lega.

 

Kedengaran Salleh mendengus geram.

 

Kehkehkehkeh….Hati Fatimah mengekek gelihati melihat wajah Salleh tak ubah bagai buah asam kecut kerana tidak berpuas hati dengannya.

 

Piraaahhhh! Jangan harap kau boleh tangkap aku lagi. Senyuman sinis sempat Fatimah layangan pada Salleh yang masih tidak melepas pandang ke arahnya. Namun Senyuman Fatimah mati tatkala matanya turut terpandang wajah 'mamat' pujaannya.

 

 Alamak! Tadi takde. Macam mana pulak boleh muncul tiba-tiba. Aduh! Kantoi lagi! Mesti 'mamat' tu 'mark' aku minah yang suka langgar displin sekolah. Wajah Fatimah berkeropot seribu macam kertas yang tergumpal. Aduh! Susahlah aku nak pikat mamat tu kalau macam ni. Langkah kaki dipercepatkan, cuba mengelak dari Mohamed mengenali dirinya. Mahu sahaja dia masukkan dan sorok wajahnya ke dalam beg sekolah. Kalaulah boleh!

 

"Hai, Timah!"

 

Hampir terlompat Fatimah tatkala teguran terasa dekat sekali ditelinganya. Seperti biasa wajah Ismail dan Samad yang sedang mempamirkan setiap batang gigi membuat iklan di hadapan matanya.

 

"Semalam tak datang, itik demam terendam air ke?" soal Ismail selamba. Samad terkekek ketawa.

 

'Eiiiii! Malaun ni!' Fatimah mengigit bibir geram. Tanpa mempedulikan Ismail dan Samad, Fatimah menghayunkan kaki ke dalam kelas. Malas hendak melayan.

            

       "Timah, kau takde semalam aku rindu sangat," Ismail mengekori langkah Fatimah yang laju.

    

            Mangkuk ayun! Sumpah Fatimah dalam hati.

 

                "Kau tak rindu kat aku juga ke?"

 

Siot! Automatik Fatimah memberhentikan langkah. Pantas dia berpaling memandang wajah Ismail yang sedang menyengih.

            

       Fatimah menahan nafas. Mahu sahaja dia menelan hidup-hidup empunya diri yang tidak ada perasaan malu itu.

   

             Ismail menelan air liur. Renungan tajam Fatimah membuat perutnya terasa kecut! Samad awal-awal lagi melarikan diri.

 

                "Timah, tak baik marah-marah tau. Nanti Tuhan marah," giat Ismail.

 

                Fatimah mendengus. Malas hendah melayan pantas melangkah semula menuju ke pintu kelas. Panggilan Ismail bertalu-talu tidak dipedulikan. Lagi dilayan lagi menambah sakit jiwanya.

 

"Timah! Kau tau, rugi besar kau tak datang sekolah semalam."

 

Zainab menerpa ke arah Fatimah sebaik sahaja Fatimah menyorong beg galasnya ke bawah meja. Salmah tidak ketinggalan, turut sama menepek ke sebelah Fatimah. Tersengih-sengih bagai kerang busuk yang sudah lama tidak terendam air.

 

"Ye ke?"

 

Terangkat kening Fatimah memandang kedua-dua sahabatnya.

 

"Memang rugi, wa cakap lu!" Giat Salmah pula.

 

Fatimah tersenyum sinis.

 

"Hmmm…." Fatimah seperti berfikir sejenak. "Tak payah korang cakap, memang aku tahu aku rugi," balas Fatimah kemudiannya. Riak wajahnya selamba. Dikeluarkan buku latihan Matematik Tambahan dari dalam beg sandangnya dan diletakkan di atas meja.

 

Mendengarkan jawapan Fatimah, dahi Zainab berkerut-kerut seribu manakala Salmah mengaru-garu kepala yang tidak gatal. Pelik! Fatimah seolah-olah tahu apa yang hendak mereka berdua katakan.         

 

"Pinjam latihan Cikgu Kamil bagi semalam aku nak tengok," selamba Fatimah meminta dengan kawan-kawan yang sedang melingkungi meja tulisnya.

 

"Kau nak tengok ke kau nak copy?" soal Zainab sambil ketawa kecil namun buku latihan yang diinginkan tetap dihulurkan kepada Fatimah.

 

 "Kalau aku tak tengok macam mana aku boleh copy, mangkuk," jawab Fatimah selamba.

 

"Ai, best student macam kau ni meniru jugak ke? Selalunya kita orang yang meniru kau," Salmah mengekek ketawa di sebelah Fatimah. Zainab turut ketawa berdekah-dekah.

 

"Memanglah aku kena tiru kau orang. Kan semalam aku tak datang." Fatimah mencapai buku yang dihulurkan oleh Zainab dan membelek ke muka surat yang paling akhir.

 

"Apasal soalan sahaja, mana jawapannya?" Soal Fatimah sambil direnung wajah Zainab yang tersegih-sengih dihadapannya.

 

"Aku lupa buat!"

 

"Ceh, ,buang karan je," rungut Fatimah sambil menutup kembali buku latihan Zainab.

 

"Sal, kau punya mana? Bak sini!" Fatimah menghala pandangan matanya ke arah Salmah yang sedang menekan perut menahan ketawa meletus.

 

"Aku pun belum buat. Aku ingat nak tiru kau punya," jawab Salmah sambil tersengih menayang gigi. Giliran Zainab pula ketawa mengekeh.

 

'Ceh! Kurang asam punya kawan!' Fatimah menjeling geram dengan gelagat kawan-kawannya. Aduh! Mampus aku kena marah dengan Cikgu Kamil nanti. Fatimah menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

 

Tanpa mempedulikan Salmah dan Zainab, Fatimah menumpukan sepenuh perhatian kepada buku latihan dihadapannya. Baik aku buat sendiri. Betul, salah belakang kira, janji siap! Ngomel Fatimah sendiri. Dia sudah perit kena rotan minggu sebelumnya kerana tertinggal buku latihan. Tak sanggup lagi dia kena lagi apatah lagi di hadapan Ismail memang yang suka mengenakan dirinya.

 

Zainab dan Salmah juga tidak membuang masa, terus mengambil pen dan meniru jawapan tatkala melihat Fatimah kelihatan bersunguh-sungguh menyiapkan latihan Cikgu Kamil. Fatimah yang menyedari gelagat kawan-kawannya hanya membiarkan namun kepalanya digeleng-gelengkan. Isk! Kawan macam ni pun ada ke?           

 

"Bangun!"

 

Apocot! Fatimah melatah terkejut tatkala ketua kelas memberi arahan.

 

Cikgu Kamil! Habis aku!


Posted at 12:06 am by izfa
Comment (1)  

Jun 25, 2006
Sambungan Cerita

Assalamualaikum, pertamanya izzul mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengunjung yang sudi menyinggah sama ada bersuara dan tanpa suara ke blog ini biarpun izzul sudah lama tidak mengupdatenya. Ribuan maaf izzul pohonkan untuk itu juga. Untuk makluman semua, Insya-Allah izzul akan cuba meneruskan cerita ini sehingga ke titik penamat, biarpun terpaksa mengambil masa. Itupun jika ada permintaan Tongue . Entri seterusnya sekurang-kurangnya satu bab akan izzul cuba postkan dalam minggu ini. Insya-Allah. Terima kasih sekali lagi. Tunggguuuuuuuuuu.

 


Posted at 10:18 pm by izfa
Make a comment  

Next Page

Bigoo.ws All for your blog